LiteraCity – Sastera Urbanisasi

Kulit buku LiteraCity. Imej kurniaan Zikri Rahman

 

LiteraCity, sebuah hasil geran Think City, merupakan projek pemetaan sastera dan budaya di Kuala Lumpur. Buku ini mengandungi esei-esei, interviu dan esei foto yang memberi perspektif kontemporari dan diskusi yang melangkaui wacana sedia ada terhadap sastera kota, khususnya di Kuala Lumpur.

Kami bincangkan serba sedikit tentangnya bersama ZIKRI RAHMAN, penggerak buku ‘LiteraCity: Fragmen Sastera Kuala Lumpur’.

 

LiteraCity merupakan sebuah projek pemetaan budaya sastera di Kuala Lumpur. Zikri Rahman serta teman penggerak, Ridhwan Saidi dan Nurul Aizam bersama-sama menggerakkan projek dengan memfokuskan kepada karya sastera di dalam bentuk novel, puisi, skrip teater serta cerpen dari tahun 70-an sehingga sekarang. Melalui projek ini juga, mereka turut memetakan ruang sastera, menjalankan tur sastera “LiteraTur”, beberapa pameran serta dokumentasi melalui atas talian dan penerbitan buku dwibahasa “LiteraCity – Fragmen Sastera Kuala Lumpur / Kuala Lumpur Literary Fragments”.

 


Buku LiteraCity. Foto kurniaan Zikri Rahman

 

Mencabar ‘status quo’

Dari segi status quo yang ingin diubah atau terokai, pada utamanya, Zikri serta rakan-rakannya melihat kepada pengalaman serta pengamatan sasterawan dan perspektif mereka terhadap idea pembangunan serta urbanisasi di Kuala Lumpur, yang ditumpahkan ke dalam karya sastera.

“Pastinya, dengan menggunakan lensa budaya sastera, kita dapat memperhalusi kota dan membedah ruang di dalamnya, bukan sahaja dari perspektif pembangunan material dengan logika pacuan ekonomi semata-mata, tetapi turut melibatkan pandangan manusiawi dan spiritual,” kata Zikri.

“Mungkin itulah, untuk melihat kota sebagai sebuah entiti yang hidup.”

Selain itu, Zikri berpendapat bahawa mungkin melalui sastera, kita dapat melihat imaginasi kolektif seperti apa yang membina naratif di dalam kota kita ini.

“Pastinya, ia tidak sahaja terhad kepada ruang-ruang seperti monumen, tugu atau dataran yang dibangunkan oleh Negara tetapi turut mengambil kira ruang-ruang yang terasing dan terpencil sebagai sebuah konstruk kepada pensejarahan alternatif bagi sebuah kota,” katanya.

Titik Permulaan

“Awalnya saya mendapat idea tentang hal ini selepas melawat dan membaca tentang beberapa kota lain yang diangkat oleh UNESCO sebagai Kota Sastera atau, dalam Bahasa Inggeris – Cities of Literature,” kata Zikri.

“Kota-kota seperti Edinburgh dan Melbourne misalnya, di mana kita boleh melihat bagaimana kota ini diberikan nafas dan karekternya melalui karya-karya sasteranya.”

Beliau berasa pasti sebuah kota seperti Kuala Lumpur yang dibangunkan oleh tenaga buruh dari zaman kolonial serta pasca-kolonial dalam beberapa sektor seperti perladangan dan perlombongan, pasti mempunyai ceritanya sendiri.

Kemudiannya, projek LiteraCity turut digerakkan oleh keperluan untuk melakukan dokumentasi terhadap karya-karya sastera, bagaimana proses migrasi luar bandar ke bandar yang pesat serta latar sosial yang membentuk karya-karya sastera sewaktu itu.

“Bagi saya ianya sesuatu yang sangat diperlukan apatah lagi jika kita mahu melihat kota bukan lagi dari sudut pandang ‘pembangunan’ semata-mata. Kerana yang menghidupkan sesebuah kota, adalah orang-orangnya yang membesar dan mematang di dalamnya yang banyak digarap menjadi teks-teks sastera,” Zikri terangkan.

“Dengan menggunakan lensa budaya sastera, kita dapat memperhalusi kota dan membedah ruang di dalamnya, bukan sahaja dari perspektif pembangunan material dengan logika pacuan ekonomi semata-mata, tetapi turut melibatkan pandangan manusiawi dan spiritual. Mungkin itulah, untuk melihat kota sebagai sebuah entiti yang hidup.”

Dengan ini, idea yang secara kasar ini kemudiannya dikembangkan lagi secara lanjut dengan Ridhwan Saidi dan Nurul Aizam yang turut bersama-sama melakukan proses penyelidikan dan dokumentasi di mana mereka melihat kepada tiga aspek utama di dalam mendokumentasi karya sastera, iaitu: estetika karya sastera kota; wacana yang diangkat serta latar masa; dan tempat sesebuah karya sastera.

 


Rakan penggerak Literacity. Dari kiri: Ridhwan Saidi, Nurul Aizam dan Zikri Rahman. Foto kurniaan: Zikri Rahman

 

Mencetuskan Keyakinan Penaja

Pada mulanya projek ini dibiayai oleh Think City sebagai rakan projek utama sebelum Zikri dapat memenang keyakinan penaja lain seperti Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku Sdn Bhd, Goethe Institut dan Penerbitan FIXI.

“Melalui modal permulaan yang kami terima, kami mula faham bahawa projek ini mempunyai potensi yang sangat besar, dan penaja-penaja turut berpendapat demikian,” Zikri huraikan.

“Langsung keperluan untuk membina sebuah strategi kukuh turut menjadi amat penting, terutamanya bersama pelbagai pembiaya dari industri penerbitan dan kandungan digital. Dengan ini, kelebihan keseluruhan industri penerbitan dapat dipergunakan, dan ini juga akan menyumbang kepada pembinaan ekosistem industri.” Untuk memperoleh idea-idea baru, Zikri bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi, untuk melibatkan semua pihak dalam proses pemetaan, baik dari lingkaran sastera atau dari institusi kebudayaan antarabangsa.

“Ini adalah untuk memastikan bahawa projek LiteraCity dibina secara holistik, kerana kita bukan sahaja menyasarkan pembaca domestik tetapi juga pembaca antarabangsa, dan kami juga mahu mengenalkan tokoh kesusasteraan dan literati tempatan yang terlibat kepada dunia,” Zikri berkata.

“Melihat kepada fasa semasa projek ini dan pelan projek masa depan, kami positif bahawa ia akan memperluaskan prospek projek kami bukan sahaja dari segi mendokumentasikan bandar melalui teks sastera tetapi juga untuk membayangkan semula bandar dalam setiap cara yang mungkin.”

Terbitan Pertama Seumpamanya di Malaysia

Pastinya, melalui buku yang pertama diterbitkan seumpamanya ini di Malaysia, Zikri sebut bahawa kolektif penerbit itu cuba menghubungkan beberapa disiplin ilmu seperti kajian perkotaan (urban studies), sastera serta etnografik melalui kaedah pemetaan budaya. Paling utama adalah untuk melakukan dokumentasi karya sastera yang memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada proses urbanisasi.

“Dengan ini, kami menghimpunkan beberapa esei yang menulis secara langsung tentang pengamatan kami terhadap sastera kota, tur sastera LiteraTur serta esei foto. Selain itu, kami turut melihat kepada kemungkinan untuk menggabungkan seni persembahan dan sastera khususnya melalui esei tulisan Ridhwan Saidi tentang tur sastera LiteraTur,” kata Zikri.

“Kerana yang menghidupkan sesebuah kota, adalah orang-orangnya yang membesar dan mematang di dalamnya yang banyak digarap menjadi teks-teks sastera.”

Secara keseluruhan, prosesnya bolehlah dikatakan dijalankan secara kolektif namun diterajui oleh Nurul Aizam yang merupakan editor kepada buku LiteraCity – Fragmen Sastera Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan editor kepada sebuah rumah penerbitan Moka Mocha Ink di mana mereka banyak menerbitkan karya-karya kreatif.

“Berkenaan dengan tema keseluruhan buku, kami cuba untuk ‘memeta’ beberapa perkara yang kami fikirkan penting, khususnya melalui proses dan transkrip wawancara dengan beberapa sasterawan, penulis serta penggerak budaya,” kata Zikri.

“Melalui proses wawancara ini, kami kemudiannya melihat kepada proses untuk menggabungkan pembacaan kami sendiri dengan sumber primer seperti teks sastera asal.

“Di dalam hal ini, ianya jelas ditunjukkan melalui esei-esei yang ditulis dengan beberapa perkara dan tema seperti persoalan ruang kolektif dan imaginatif sastera kota, pendekatan teori sastera dan kajian perkotaan serta sudut pandang pembangunan kemudiannya dikembangkan.”

Detik-detik Menarik

Apabila ditanya tentang penemuan-penemuan yang menarik dalam perjalanan penyelidikan dan kompilasi, Zikri menjawab, “Terlalu banyak pastinya.”

Namun beliau lalu berkata, “Yang utamanya adalah bagaimana kami membelek dan mendokumentasi dari sebuah karya ke sebuah karya sastera, kemudiannya untuk menemukan teks-teks sastera yang bercerita tentang kota sangat mengujakan.

“Wawancara kami dengan beberapa sasterawan contohnya seperti Muhammad Haji Salleh serta A.Samad Said membuka ruang mereka untuk bercerita tentang kota melalui karya-karya yang pernah mereka gauli.”

Bertitik-tolak dari itu, sebagai sebuah projek pemetaan budaya, kumpulan rakan itu melihat kepada latar masa dan lokasi yang sekaligus membentuk sesebuah bentuk dan proses pengkaryaan.

“Ini cukup jelas melalui wawancara bersama dengan A. Samad Said di mana beliau berkongsi tentang pengalamannya membesar di dua buah kota utama ketika itu, di Singapura dan Kuala Lumpur.

“Selain itu, ruang-ruang seperti “Jambatan Gesel”, “Benteng”, “Rumah Anak Alam” antaranya cukup sentimental apatah lagi bagi penggerak sastera budaya ketika itu yang pastinya sangat molek untuk kita kongsikan,” Zikri bertambah.

“Yang menarik juga adalah bagaimana melalui karya-karya sastera kita dapat melihat bagaimana seseorang pengkarya kemudiannya mengimaginasikan utopia kota mereka khususnya di dalam karya Abdullah Hussain, ‘Kuala Lumpur Kita Punya’ serta Johan Jaafar melalui ‘Kotaku oh Kotaku’.”

 


‘Pasar Pudu’: gambarfoto yang dipaparkan di dalam esei foto Ridhwan Saidi. Foto: Ridhwan Saidi

 


‘Bukit Bintang’: gambarfoto yang dipaparkan di dalam esei foto Ridhwan Saidi. Foto: Ridhwan Saidi

 


‘Pasar Karat’: gambarfoto yang dipaparkan di dalam esei foto Ridhwan Saidi. Foto: Ridhwan Saidi

 

Sumbangan terhadap kota dan masyarakat

Bagaimanakah senafkah buku tentang kota-kota tempatan dapat menyumbang kepada sebuah kota yang lebih senang didiami atau kepada komuniti-komuniti di bandar?

“Berkenaan dengan hal ini, kami melihat kepada kemungkinan projek untuk warga kota untuk mula membaca karya-karya sastera Kuala Lumpur.

“Pastinya kami melihat kepada kepentingan pendidikan sastera sebagai asas kepada projek ini di mana ianya dapat membukakan spektrum apresiasi yang lebih luas dan tidak terhad hanya sebagai salinan fizikal sesebuah teks sastera sahaja, namun melibatkan bagaimana kita kemudiannya mendokumentasi fiksyen ini sebagai sebuah dokumen sejarah penting khususnya dalam melihat ruang-ruang di dalam kota,” Zikri kata.

Perkara ini menjadi keutamaan pihak Zikri di mana mereka berharap hasil dari kajian itu di dalam pelbagai bentuk popular seperti laman web dan peta grafik sastera boleh menggalakkan kelompok warga seni, sastera dan budaya untuk menggunakannya dan menjalankan tur sastera kota mereka sendiri.

Impak dan kesan

Mengenai impak projek, Zikri sudah melihat beberapa hasil yang beliau percaya adalah strategik untuk perkembangan projek LiteraCity buat masa hadapan.

“Kami sedang cuba menggabungkan pemetaan budaya dan sastera dengan tumpuan kepada kaedah penyelidikan yang popular. Dengan itu output projek kami terdiri daripada peta sastera, laman web, pameran, LiteraTur; lawatan sastera dan perbincangan forum,” katanya.

Melalui pelbagai kerjasama dengan beberapa rangkaian universiti dan institusi budaya, Zikri serta rakan-rakannya telah dijemput untuk mencaburi Festival Sastera Kuala Lumpur yang pertama tahun lalu di mana mereka terlibat dalam kurasi kandungan pameran, forum dan bengkel.

“Selain itu, kami juga telah berjaya bekerjasama dengan hampir 10 inisiatif pemetaan kebudayaan di Lembah Klang semasa pameran kami di RUANG by Think City yang bertajuk “Kota Peta”.

“Kami menyusun pameran itu dengan fokus kepada bagaimana inisiatif pemetaan kebudayaan dapat memperkayakan kehidupan di kota dan mencetuskan pemahaman bandar dengan lebih baik, terutamanya menerusi proses pemetaan yang berterusan.”

Selain itu, Zikri bersama rakan-rakannya sedang berusaha memperluaskan LiteraTur; pelancongan sastera bersama beberapa entiti seperti universiti.

“Pada bulan Mac 2017, kami mengadakan lawatan sastera dengan pelajar-pelajar Pengajian Cina dari Universiti Malaya, meluaskan lagi pelancongan sastera kami. Pelajar-pelajar tersebut dapat peluang meneroka warisan sastera dan pengembaraan gastronomik di kawasan tertentu di kota Kuala Lumpur.

“Ramai pelajar berpendapat bahawa pengalaman itu sungguh mengasyikkan. Malah, bagi beberapa pelajar, ia merupakan kali pertama mereka mengunjungi kawasan tersebut mahupun mengalami sisi Kuala Lumpur yang tidak pernah dijumpai,” kata Zikri.

Menurut Zikri, inisiatif melanjutkan pelancongan sastera bersama entiti yang berlainan akan menjadi asas bagi perkembangan projek masa depannya.

“Melihat kepada fasa semasa projek ini dan pelan projek masa depan, kami positif bahawa ia akan memperluaskan prospek projek kami bukan sahaja dari segi mendokumentasikan bandar melalui teks sastera tetapi juga untuk membayangkan semula bandar dalam setiap cara yang mungkin.”

Langkah awal dalam membina ekosistem sastera kukuh dan inklusif

“Salah satu cabaran besar yang kami mengalami dalam proses membina buku ini merupakan pendokumentasian di mana kami perlu melihat semula teks-teks sastera yang sukar didapati. Di dalam hal ini, kami melihat kepada peri-pentingnya institusi perpustakaan serta pusat sumber khususnya di dalam mengurus tadbir sumber bahan bacaan. Pastinya, bagi sebuah kota yang baik, ruang ilmu perlu diberikan perhatian,” Zikri menekan.

Bertitik-tolak dari itu, kolektif LiteraCity turut melihat kepada kemungkinan pemetaan ruang infrastruktur sastera budaya di kota Kuala Lumpur.

“Terdapat beberapa entiti yang sangat penting di dalam menjayakan projek seperti ini – perpustakaan, toko buku serta institusi kerajaan atau independen di mana ianya melibatkan keseluruhan ekosistem budaya sastera Kuala Lumpur sendiri.

“Ini adalah kerana bagi sesebuah kota untuk diperakui sebagai Kota Sastera (atau City of Literature) oleh UNESCO, kita perlu mengambil kira segenap dimensi ekosistem. LiteraCity merupakan satu langkah awal di dalam usaha ini.”

Selain itu, di dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah kota kosmopolitan, keperluan untuk mendokumentasi karya sastera selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga sangat penting, mengikut pendapat Zikri. Oleh kerana itu, beliau akan bekerjasama dengan beberapa kelompok penggerak sastera Tamil dan Cina di dalam fasa kedua LiteraCity untuk mendokumentasi karya sastera di dalam bahasa-bahasa itu.

“Bagi kami, ianya sebuah cabaran yang penting untuk menjadikan projek ini lebih inklusif sifatnya,” katanya.

Rancangan selanjutnya

Kolektif LiteraCity kini di dalam proses merangka untuk memperbesar lagi ruang lingkup dokumentasi karya sastera. Sekaligus, mereka akan melihat kepada kemungkinan kolaborasi bersama beberapa kelompok seni, sastera dan budaya melalui universiti, badan sejarah dan warisan serta penggerak komuniti untuk menjalankan proses tur sastera seterusnya. Inisiatif mengemaskini bibliografi karya sastera di dalam laman web mereka juga akan berterusan.

“Dalam pada itu, kami baru sahaja terpilih sebagai pemenang bagi sebuah pertandingan P2P 360 di mana kami berpeluang untuk mengembangkan idea LiteraCity kepada kandungan digital. Kami akan memfokuskan kepada produksi siri web serta melihat kepada kemungkinan membangunkan aplikasi mobil,” kata Zikri.

“Kami sendiri teruja dengan kemungkinan-kemungkinan serta dukungan dari rakan projek strategik kami seperti Think City dan penaja-penaja kami sewaktu fasa pertama, dan akan datang seperti Perbadanan Kota Buku, Institut Terjemahan Buku Malaysia, Buku Fixi, Goethe-Institut Malaysia serta Krishen Jit-Astro Fund, di mana kami pasti akan melihat kepada potensi LiteraCity untuk terus digerakkan bersama warga.

 


LiteraCity:Fragmen Sastera Kuala Lumpur boleh diperolehi di toko-toko buku seperti Gerakbudaya, Silverfish Books serta Kinokuniya.

Artikel ini pernah diterbitkan dalam ‘The Think City Channel’ yang kini bertajuk ‘The Citymaker’.

#community #artandculture #culturalmapping