Menerokai Kota Melalui Warisan Indera
Mercu tanda mungkin kurang berkesan diperbandingkan sensasi indera. Foto: Igor Son/Unsplash
Adakah sensasi indera manusia lebih penting bagi menavigasi sebuah kota? Adakah ia sejenis warisan yang patut dipelihara? CHRISTOPHER DEWOLF membincangkan konsep menavigasi sebuah bandar melalui indera manusia.
Dalam sebuah petikan dari terbitan ‘The Future of Public Space’, (hasil cetakan Skidmore, Owings & Merrill (SOM), sebuah syarikat seni bina, reka bentuk dalaman, kejuruteraan, dan perancangan bandar), penulis Christopher DeWolf membincangkan konsep menavigasi sebuah bandar melalui indera manusia.
Christopher DeWolf menyaksikan bahawa ruang bandar Hong Kong secara semulajadi memenuhi peranan dengan berkesan apabila wujudnya aktiviti manusia. Kawasan di sekitar Choi Hung, di Kowloon Timur, umpamanya, berada di dalam keadaan huru-hara, dengan perumahan pasca-perang yang bertembung dengan kampung-kampung lama dan jalan-jalan yang sibuk. Ia kelihatan mengelirukan, namun kepadatan aktiviti manusia menjadikannya lebih mudah untuk mencari jalan daripada yang mungkin disangka.
“Bayangkanlah – anda muncul dari stesen keretapi bawah tanah dan terus menghadapi suasana kecoh lalu lintas, bau ekzos yang mencekikkan dan teriakan penjual-penjual pelan telefon bimbit,” kata De Wolf.
“Aliran manusia akan membawa anda ke sebuah jambatan kaki, dan ke seberang jalan di mana anda menemui sebuah pasar awam yang penuh dengan pelbagai bau dan bunyi. Beberapa langkah lagi, anda menaiki eskalator dan muncul di Kampung Nga Tsin Wai, yang penuh dengan restoran kaki-lima. Suasana di sana pula riuh dengan bunyi pinggan mangkuk serta pelanggan yang berbual. Kalau anda sering mengikut laluan ini, lama-kelamaan mercu tanda visual akan menjadi kurang penting sebagai panduan navigasi: deria anda akan ambil alih.”
“…mercu tanda visual akan menjadi kurang penting sebagai panduan navigasi: deria anda akan ambil alih.” Christopher DeWolf
Menurut Virginia Fung pula, seorang arkitek yang meneliti urbanisme dari segi indera di City University of Hong Kong, “Orang ramai tidak mempunyai kenangan kuat mengenai ruang yang berbau neutral.” Beliau perhatikan bahawa ruang-ruang seperti yang terdapat di Kampung Nga Tsin Wai lebih mudah tertera dalam ingatan.
“Malangnya, ruang-ruang sebegini makin berkurang, malah hilang dari bandar-bandar kita sama sekali,” kata beliau.
Seperti segala bandar yang mengalami kapitalisme agak lewat, pasar-pasar tradisional dan perniagaan-perniagaan kecil di Hong Kong kini telah diganti dengan rangkaian kedai jenama popular dan pusat membeli-belah mewah yang dikawal ketat. Sewa yang tinggi menyebabkan kedai-kedai sering bertukar, dan ini mungkin menambah kepada kekeliruan pejalan kaki.
“Di Hong Kong, medan sosial dan ekonomi tidak hanya beralih – ia bergempar seperti tanah dalam gempa bumi. Ini menimbulkan persoalan tentang warisan indera sesuatu tempat,” kata DeWolf. “Bagaimanakah harus kita memeliharanya? Adakah ia harus dipelihara sama sekali? Bangunan lama dapat dikekalkan, tetapi bagaimana pula dengan bunyi dan bau yang lebih abstrak, yang memberikan nyawa kepada sesuatu tempat?”
“Orang ramai tidak mempunyai kenangan kuat mengenai ruang yang berbau neutral.”
EKSPERIMEN
Terdapat beberapa eksperimen yang menarik dalam hal ini. Di sebuah sudut lama Wan Chai, sebuah tenemen era 1920-an yang dikenali sebagai Blue House telah diubahsuai dan kini dihuni oleh peniaga-peniaga bebas, kemudahan budaya dan perumahan bersubsidi. Kebanyakan penduduk asal masih kekal, dan ini merupakan hasil positif daripada rayuan golongan konservator dan arkitek yang telah memujuk kerajaan Hong Kong (pemilik harta itu), untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.
Kebanyakan projek pelestarian warisan Hong Kong seperti bangunan ibu pejabat polis (Marine Police Headquarters dari era Permaisuri Victoria), telah diubah secara dramatik. Kawasan hutan di kelilingnya telah lenyap, kini diganti oleh pusat membeli-belah, dan patina lama bangunan itu telahpun digilap untuk menampung sebuah hotel mewah.
“Bangunan-bangunan seperti ini masih dapat dikenali, tetapi sejauh peringatan indera – boleh dikatakan bangunan-bangunan ini tidak bernyawa lagi.
“Blue House merupakan percubaan untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Dengan mengekalkan perumahan serta residen-residen lama, dan menambah aktiviti baru seperti penayangan filem di ruang-ruang berkongsi, ia mengekalkan hubungan yang lebih ketara kepada masa silam,” kata DeWolf.
“Apabila seseorang penduduk menghidupkan radio, menyalakan kemenyan atau menyidai pakaian mereka – ini semua membentukkan warisan indera ruang itu.”
Blue House telah diberi Anugerah Kecemerlangan tahap tertinggi dalam empat kategori, di dalam Anugerah Pelestarian Warisan Kebudayaan Asia-Pasifik oleh UNESCO (Unesco Asia-Pacific Awards for Cultural Heritage Conservation) pada tahun 2017.
“Bangunan lama dapat dikekalkan, tetapi bagaimana pula dengan bunyi dan bau yang lebih abstrak, yang memberikan nafas dan nyawa kepada sesuatu tempat?”
Tidak jauh dari Blue House, di sebuah kawasan berhutan, penuh dengan spesies burung dan kelawar buah, arkitek Tod Williams dan Billie Tsien telah mengendalikan pelestarian sebuah bangunan ketenteraan British dari abad ke-19, dan telah menyesuaikannya sebagai sebuah pusat kebudayaan. Oleh kerana larangan, golongan rakyat tidak pernah memasuki kawasan itu sejak tahun 1842. Dalam tahun 1970-an kebanyakan tapak itu telah dijual dan dibangunkan semula sebagai hotel, pejabat, pangsapuri dan pusat membeli-belah.
Kini, di seberang Conrad Hotel dan konsulat British, Pusat Persatuan Asia Hong Kong berdiri, siap dengan dewan serbaguna yang anggun dan moden, menonjol dari lereng bukit yang subur. Air terjun buatan serta sebuah jambatan kaki seolah-olah menjemput pelawat berlepak di kawasan yang hijau itu sambil menikmati pandangan, bau dan bunyi alam semulajadi. Ini menambah kepada sensasi indera apabila seseorang melawati tempat itu.
Di dalam bangunan pula, batu marmar membawa kontras kepada tekstur-tekstur lama dari struktur abad ke-19 itu. Ini memang sebuah sifat rekabentuk yang sengaja. Williams dan Tsien memang berazam mewujudkan suatu ruang yang berfungsi sebagai penghubung kepada menara-menara yang canggih-manggih di sekitar mereka, dengan permukaan seragam mereka dan lobi-lobi yang wangi.
Kata Tsien, “Kami tidak mahukan tempat ini menjadi objek fotografi, kami mahu bangunan ini bernyawa dan mencerminkan komuniti-komuniti di kawasan ini.”
Mengikut Wolf, keajaiban Hong Kong bergantung kepada faktor-faktor yang bertembung secara kejutan. Menara-menara korporat yang moden yang tiba-tiba bertembung dengan sebuah pasar malam, misalnya.
“Reka bentuk Persatuan Asia adalah luar biasa kerana ia secara proaktif terlibat dengan konteksnya — bukan hanya secara visual tetapi dengan cara yang membangkitkan semua deria. Sensasi indera bertambah di bandar yang berkepadatan tinggi seperti Hong Kong.”
KEKAYAAN SENSASI INDERA
Sesetengah skim pembangunan Hong Kong yang paling terkini mengabaikan kekayaan yang dibawa oleh kepadatan penduduk dan aktiviti bandar. Malah, cubaan untuk memodenkan kawasan besar di bandar sering menyebabkan situasi yang mengelirukan dengan kehilangan mercu tanda berasaskan indera.
Salah satu tempat yang paling mengelirukan di Hong Kong ialah Union Square, sebuah kompleks besar yang merangkumi stesen keretapi, bas dan pusat membeli-belah besar.
Selain daripada tanda-tanda, seluruh kawasan mempunyai suasana yang agak seragam menjadikan pengunjung tidak berdaya bergantung kepada isyarat visual.
Pada pendapat De Wolf, ini merupakan sesuatu yang mesti dihadapi dan dicabar dari segi perancangan dan pembangunan bandar Hong Kong.
“Nasib baik, Hong Kong pada keseluruhannya berdaya tahan. Keistimewaannya tertera kepada kepadatan penduduk, pendekatan laissez-faire terhadap pembangunan – memastikan ia sentiasa mengekalkan kerakusan aktiviti yang menjadikannya mengelirukan tetapi menarik. Senibina baru seperti Blue House dan Persatuan Asia, menunjukkan bagaimana perkembangan baru dapat merangkul dan meningkatkan Hong Kong.
“Tetapi kita boleh pergi lebih jauh daripada itu – terutamanya kalau penilaian indera boleh dipertimbangkan dalam proses pembangunan. Bandar ini hanya boleh difahami jika ia tersusun dan dibangunkan secara keseluruhan – bukan hanya dari segi dimensi ruang atau rupa bahannya, tetapi dalam bunyi, bau dan perasaan intipati hidup.”
Christopher DeWolf adalah pengarang ‘Borrowed Space: Life Between the Cracks of Modern Hong Kong’ yang menerokai bagaimana warga Hong Kong telah membentuk bandar mereka melalui urbanisme tidak formal, walaupun terdapat birokrasi kerajaan yang tegar. Dia juga menulis mengenai sejarah bandar, seni bina, reka bentuk dan budaya untuk penerbitan seperti TIME, BBC, South China Morning Post dan Wall Street Journal. Dia kini seorang penduduk tetap di Hong Kong, menginap di sebuah pangsapuri kecil dengan pemandangan yang bagus.