Organic Maati: Revolusi Pertanian di Delhi

Dulu pegawai bank, kini peladang – DEEPAK GUPTA bersama isterinya memulakan revolusi pertanian di kawasan desa Delhi melalui syarikatnya, Organic Maati, membantu golongan penduduk urban mahupun belia desa mendapat pekerjaan tetap

Sekembalinya ke India selepas empat tahun berada di Kanada, Deepak Gupta, seorang pegawai bank selama 16 tahun, terdetik melakukan  sesuatu yang bakal merubah kehidupannya. Deepak bersama isterinya Smita, yang mempunyai latar belakang profesional dalam bidang  pemasaran selama lebih 15 tahun, sudah berasa penat dengan perlumbaan dunia korporat. Mereka ingin mengubah kehidupan sendiri,mahupun kehidupan orang lain yang terperangkap dengan gaya hidup moden yang tidak begitu sihat.

Deepak sebelum ini merupakan Penolong Pengurus Besar di sebuah bank terkemuka, dan pernah ditugaskan ke Afrika Selatan selama setahun serta Kanada selama empat tahun lagi. Apabila pulang ke India pada tahun 2011, beliau mendapati anggota masyarakat amnya kurang mempunyai kesedaran tentang soal kesihatan, dan ini adalah kesan langsung daripada pemakanan.

 


Deepak Gupta, seorang pegawai bank selama 16 tahun, terdetik melakukan sesuatu yang bakal merubah kehidupannya. Imej dikurniakan Organic Maati.

Kesedaran Rendah Tentang Kesihatan dan Kesejahteraan

Baja kimia dan racun perosak digunakan secara meluas, dan orang ramai tidak mempunyai pilihan lain. Ini mengakibatkan penyakit berbahaya seperti kanser. Lebih banyak penyakit merebak kerana kekurangan makanan berkhasiat menyebabkan daya imuniti yang lemah.

Tinggal di Gurgaon, Deepak mengambil keputusan untuk meninjau ladang-ladang yang ada di sekitar Delhi dan Gurgaon.

“Sepanjang mengkaji ekosistem makanan organik di sekitar Delhi, nasib saya baik kerana bertemu beberapa konsumer dan peniaga yang prihatin. Mereka berbeza daripada anggota masyarakat lain yang masih kurang sedar tentang hal berkaitan kesihatan,” ujar Deepak.

 


Deepak mengasaskan syarikat Organic Maati, yang memberi fokus pada pembelian buah-buahan dan sayur-sayuran organik daripada petani tempatan. Imej: Igor Ovsyannykov

 

Pada tahun 2012, Deepak mengasaskan syarikat Organic Maati, yang memberi fokus pada pembelian buah-buahan dan sayur-sayuran organik daripada petani tempatan, serta menjualnya kepada pelanggan yang berminat.

Perniagaan sambilan ini berjalan dengan baik, namun Deepak turut sedar bahawa kesan buruk pemodenan tidak terhenti pada makanan sahaja. Keadaan kesihatan dan alam sekitar yang semakin merosot juga disebabkan oleh racun daripada pencelup yang digunakan untuk membuat pakaian, barangan kosmetik dan penjagaan peribadi, dan tentunya pencemaran udara.

“Pengambilan ubat-ubatan jauh meningkat kerana daya tahan yang semakin lemah berbanding dulu dan terbitnya isu lain seperti tekanan dan keresahan. Seolah-olah tiada jalan keluar untuk penduduk kota,” katanya.

Isteri Deepak, Smita, turut serta dan memperkenalkan pakaian daripada kapas organik yang menggunakan pewarna berasaskan herba ke  dalam senarai produk Organik Maati.

 


Label Organic Maati juga mengeluarkan pakaian diperbuat kapas organik untuk bayi serta orang dewasa. Imej dari organicmaati.weebly.com/

 

Perubahan Gaya Hidup Lebih Holistik

Jenama ini semakin berjaya dan tahap kesedaran ternyata turut meningkat. Walaubagaimanapun, masih ada yang belum mencukupi.

“Seiring dengan kemajuan, saya menyedari kemerosotan kehidupan di sekeliling saya semakin melarat, namun saya langsung tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya lihat kanak-kanak yang gemar bersosial dalam alam virtual, tetapi menjadi introvertdalam kehidupan sebenar.

“Kecergasan fizikal dan kemahiran kognitif mereka agak lemah kerana mereka tidak lagi ke taman permainan, seperti mana yang kita lakukan semasa zaman kanak-kanak. Kepuasan serta-merta dan sifat gelisah menjadi semakin biasa. Jurang kesedaran tentang kesihatan dan kesejahteraan antara komuniti di sini berbanding komuniti yang lebih ʻmajuʼ terlalu luas untuk saya abaikan. Saya perluberbuat sesuatu untuk mengubah situasi ini,” kata Deepak.

Deepak dan Smita sedar bahawa usaha ini tidak memadai hanya dengan menyediakan produk organik semata-mata. Komuniti ini memerlukan perubahan gaya hidup yang holistik.

Deepak meninggalkan karier dan gaji yang lumayan pada bulan Mei 2016 dan menceburkan diri sepenuh masa dalam bidang pertanian.

 


Kesedaran tentang kesihatan serta kesejahteraan di Delhi amat rendah. Imej: Igor Ovsyannykov

 

Memberi Kuasa Kepada Golongan Petani

Beliau mendapati ramai petani, yang tidak memiliki tanah sendiri dan mewarisi pengetahuan luas tentang pertanian semulajadi daripada nenek moyang mereka, terpaksa menggunakan bahan kimia dan menjadi buruh di ladang orang lain dengan gaji yang rendah.

Deepak mengambil mereka sebagai pekerja tetap Organic Maati. Setelah yakin mahu menjalankan pertanian semulajadi, yang beliau percaya merupakan terapi terbaik bagi semua isu alam sekitar, Deepak dan Smita memulakan Organic Maati 2 (OM2) – ladang semulajadi sewaan tidak terlalu jauh dari bandar, yang mungkin menjadi penyelesaian untuk penduduk bandar.

OM2 menawarkan penyewaan pertanian tanaman semulajadi, yang membolehkan seseorang individu memilih satu ekar (atau lebih) tanah di sekitar Delhi dan meminta Organic Maati untuk mengusahakannya.

Dengan kos lebih rendah daripada harga tiket penerbangan ke Amerika Syarikat, penyewa tersebut dapat memiliki ladang seluas satu ekar untuk tempoh satu tahun, yang jaraknya hanya satu jam perjalanan dari Delhi. Penyewa boleh mengunjungi keluarga tersebut pada bila-bila masa dan mempelajari pertanian semulajadi, memetik tanaman mereka sendiri dan menjadi sebahagian daripada alam.

“Ladang ini terletak di desa-desa kecil berhampiran dengan Delhi dan Gurgaon. Ia tidak hanya memenuhi tujuan bagi menghubungkan penduduk bandar dengan asal usul mereka dan membawa mereka ke arah kehidupan sihat dan lestari, bahkan juga, memandangkan hanya kaedah pertanian semulajadi diguna-pakai, ladang ini akan terbukti menjadi model untuk peladang lain,” jelasnya.

 


Seorang petani mengerjakan tanaman di bawah anjuran Organic Maati di sebuah ladang cuma sejam dari kota Delhi.

 

Tiga Model Pemilikan

OM2 menyediakan tiga model pemilikan ladang. Jika seseorang petani sudah pun mempunyai ladang, beliau boleh sekadar mengupah OM2 untuk mengerjakan ladang di tanah sedia ada. Jika pihak tersebut ingin menyewa, OM2 membantu mendapatkan ladang dan mengusahakannya untuk mereka. Jika mereka ingin membeli tanah dan mengerjakannya, itu juga boleh dilakukan.

Walaupun konsumer dapat menjana pendapatan dengan menjual hasil tanaman masing-masing, Deepak menggalakkan mereka mengambil model ini untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersil.

OM2 menandatangani kontrak selama satu tahun dengan konsumer, untuk memetik hasil sekurang-kurangnya tiga kali. Jika mereka mahu, mereka boleh membaharui kontrak atau teruskan berladang. Tanggungjawab dari segi mendapatkan sumber, logistik, tenaga buruh, berladang malahan memetik dan menghantar hasil tanaman diuruskan sepenuhnya oleh OM2.

Tidak Perlu Berhijrah Mengejar Kerja Tetap

Sehingga kini, 15 keluarga dari Delhi dan rantau perancangan yang diselaraskan oleh pihak kerajaan India (NCR) telah melibatkan diri bertani di atas seekar ladang melalui OM2. Ini telah membantu golongan belia desa mendapat pekerjaan tetap, dan tidak berhijrah dari kampung halaman.

Konsumer juga dapat meneruskan profesyen keluarga, iaitu bertani. Kunjungan mereka ke ladang masing-masing dengan sahabat handai sekaligus menggalakkan ekopelancongan dan masyarakat desa dapat menonjolkan kemahiran mereka.

 


Organic Maati memberi peluang kepada golongan petani yang mahir dalam hal ehwal pertanian. Imej: Aman Bhargava/Unsplash.

 

Kesan-Kesan Ekologi

OM2 meletakkan matlamat untuk meluaskan ladang sewaan semulajadi di Gurgaon dan menambah 100 ekar lagi ladang semula jadi dalam tempoh satu tahun. Menurut Deepak, ini juga akan membantu mengurangkan kesan akibat karbon untuk segenap komuniti.

Organic Maati turut mengendalikan bengkel di ladang demo yang terletak di sektor-92, Gurgaon, untuk mereka yang berminat dengan pertanian secara semula jadi (pertanian bertumpuan lembu, menghasilkan makanan tanpa bahan kimia, pengawet atau benih yang telah diubah suai secara genetik) dan membuat laman organik mereka sendiri.

 


Kegiatan pertanian di desa membantu mengurangkan kesan akibat karbon untuk segenap Komuniti serta memupukkan industri ekopelancongan. Imej: Kumaon Maati.

 

Deepak menyimpulkan, “Elakkan daripada melihat ladang anda sebagai sebuah alat pelaburan kewangan dengan jaminan kadar pulangan. Anggap ia suatu perusahaan sosial, yang memberikan anda makanan yang sihat dan selamat dan pengalaman bercucuk tanam yang kedua-duanya sangat berharga.

“Tidak seperti pertanian konvensional, yang hanya berfokus pada produktiviti dan hasil, pertanian semula jadi berfokus pada dan mengutamakan pemerkayaan tanah. Anda mendapat manfaat kesihatan, meningkatkan kehidupan petani tempatan, menyembuhkan alam sekitar, dan memenuhi impian memiliki ladang sendiri – kesemuanya tanpa perlu meninggalkan keselesaan tinggal di bandar dan kesibukan seharian.”

 


Artikel ini pernah diterbitkan di dalam ‘The Think City Channel’, majalah rasmi atas-talian Think City, yang kini bertajuk ‘The Citymaker’.

#enterprise #sustainability #social