Wayang Kulit Diberi Nafas Baru Melalui ‘Peperangan Bintang’

Watak ‘Darth Vader’ direkasemula sebagai “Sangkala Vadeh’. Imej: YouTube

 

Saga filem sains fiksyen Star Wars mungkin jauh terpisah dari persada seni halus tradisi pusaka Melayu, akan tetapi buat karyawan inovatif TINTOY CHUO, ia merupakan suatu cara untuk menggamit perhatian orang ramai kepada seni wayang kulit yang semakin pudar pada zaman budaya popular.

Penggabungan rupa dan motif Ramayana dan Mahabharata dengan mitos moden Luke Skywalker dan Darth Vader bermula pada 2012, apabila Tintoy, seorang pereka watak, mendapat ilham untuk menyadurkan seni klasik wayang kulit dengan naratif yang mudah difahami anak muda. Sebagai seorang peminat tegar Star Wars, pilihan Tintoy itu mudah sekali. “Kami memutuskan untuk menggabungkan seni tradisional dengan motif yang moden dan popular,” jelas Tintoy. “Justeru, Star Wars. Saya memang meminati Star Wars dari kecil lagi! Mak saya pun kenal Darth Vader itu siapa!”

Rekaan mulanya yang menjadi dasar Peperangan Bintang merupakan Sangkala Vadeh (Darth Vader) dan Perantau Langit (Luke Skywalker). Sebagai persediaan untuk merealisasikan sebuah epik moden Barat dengan kulit seni Timur, Tintoy dan kumpulannya melakukan kajian yang menyeluruh tentang kraf wayang kulit, terutamanya yang diamalkan di Semenanjung Malaysia. Setelah mentelaah sebanyak mungkin secara persendirian, Tintoy mencari tok dalang tersohor tanahair dan meminta budi baik mereka untuk membimbing usahanya.

 

 

Watak-watak tersayang seperti Puteri Leia, R2D2 serta C3PO turut dipaparkan mengikut gaya wayang kulit tradisional. Imej-Imej: YouTube

 

Tintoy mempelajari dari tok dalang Pak Daim Othman dari Kelantan bahawa seni wayang kulit bukan sahaja sekadar melakar dan membentuk boneka, tetapi juga menghayati seni lakonan tok dalang, penitian muzik, dan rekabentuk pentas. Ia bukannya seni kraf yang mudah dipelajari dalam masa yang singkat. Oleh itu, Peperangan Bintang memakan masa hampir empat tahun untuk diasah ke bentuk yang memuaskan hati Tintoy.

“Setiap langkah kami ambil dalam pembikinan Peperangan Bintang merupakan cabaran yang hebat,” kata Tintoy. “Kami tidak begitu arif tentang seni wayang kulit, jadi dari mula hingga ke akhir kami berada dalam proses pembelajaran yang intensif.

“Rekaan boneka pertama kami disiapkan dalam masa dua bulan sahaja, tetapi setelah dipamerkan, boneka kami mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Jadi kami pun bersemangat untuk meneruskan projek ini.”

 

 

Tintoy juga menolak penakrifan hasil karyanya sebagai “wayang kulit moden”, menyatakan bahawa wayang kulit moden sudahpun digunakah sebagai istilah yang dikaitkan dengan seni yang dipraktikkan di Kedah. Sebaliknya, apa yang diamalkan oleh kumpulannya lebih sesuai digelar “wayang kulit fusion”, oleh kerana ia menggembelengkan unsur moden dari luar tradisi wayang kulit dengan seni tempatan.

Dengan dipentaskan karya Peperangan Bintang, Tintoy menaruh harapan bahawa generasi muda di Malaysia akan lebih peka akan sejarah dan warisan seni wayang kulit, dan seterusnya mengambil langkah untuk mendekati wayang kulit dan mencari tok dalang terus menerus untuk menimba ilmu dari mereka.

 

 

 

Kata Tintoy, “Untuk menjelaskan keadaan, apa yang kami lakukan dengan Peperangan Bintang bukannya untuk merombak kraf wayang kulit atau mengubah hala tujuannya. Kami hanya mahu menaikkan kesedaran orang ramai akan keindahan seni ini. Harapan kami adalah Peperangan Bintang dapat menggamit minat sedikit sebanyak penggiat baru dalam bidang wayang kulit.

“Dalam seluruh Semenanjung Malaysia, hanya tinggal lebih kurang 20 kumpulan wayang kulit yang masih aktif. Ia suatu yang memilukan, sebenarnya,” ujar Tintoy. “Saya tak pasti bagaimana keadaannya di Indonesia, misalnya, tetapi di Malaysia wayang kulit merupakan amalan seni yang terancam.”

Peperangan Bintang baru-baru ini ditayangkan di Singapura, dan Tintoy tetap sibuk menjayakan karyanya yang akan datang, melibatkan watak-watak dari filem-filem popular seperti Batman dan The Avengers.

 

 

 


 

Artikel ini dipetik dari majalah ‘Kreatif’ (2016) keluaran Pop Digital Sdn Bhd, dan telah dikemaskini serta diterbitkan dengan izin.