Sejarah Budaya Busking di Malaysia
Dulu mengambil risiko ditangkap polis, golongan seniman jalanan kini diterima sebagai seniman yang sah. Foto: Deva Darshan/Unsplash
Dari status haram menuju ke arah kemuliaan, MEOR AZIDDIN YUSOF berkongsi sedikit sebanyak tentang sejarah busking di Malaysia dan juga pembabitan dirinya sendiri dalam dunia seniman jalanan.
Sejarah busking atau muzik jalanan di Malaysia bermula pada hujung tahun 70an. Berbanding Indonesia yang budaya busking atau mengamennya bermula pada tahun 60an lagi, waktu era penyanyi folk legenda mereka seperti Gombloh, Franky Sahilatua mahupun Leo Kristi disusuli generasi berikutnya seperti Iwan Fals antaranya.
Di negara kita ini budaya busking dikira masih baru. Sejak lima tahun kebelakangan ini barulah kita boleh lihat penerimaan dari masyarakat dan juga dari pihak kerajaan yang lebih positif berbanding negatif.
Positif itu kita boleh lihat dari sudut penerimaan dari pihak NGO mahupun kerajaan. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama persatuan Karyawan memperkenalkan permit untuk busker dan juga pelukis jalanan. Di setiap negeri juga aktiviti busking sudah dianggap fenomena yang biasa seperti yang kita lihat hari ini. Bagi saya pandangan yang positif dari pihak kerajaan itu penting kerana secara tidak langsungnya apabila kerajaan positif, pandangan masyarakat juga akan positif.
Pandangan Positif
Pada tahun 2011, pihak DBKL mula memikirkan secara serius tentang pemberian permit untuk seniman jalanan. Ini berlaku selepas insiden busker yang dihalau oleh pihak DBKL kerana membuat persembahan di kawasan yang tidak dibenarkan, seperti di kompleks beli-belah SOGO mahupun di Bukit Bintang.
Selepas dua tahun, satu program pemberian permit untuk busker dilangsungkan di Balai Seni Lukis. Itulah pertama kali di mana seramai 280 busker terlibat dalam sesi ujibakat untuk mendapatkan permit tersebut.
Saya turut menjalani sesi ujibakat untuk kali kedua yang berlangsung di Pavilion, Bukit Bintang pada penghujung tahun 2013 dulu. Kemudian, pada 14 hingga 16 Disember 2015 program ‘Bengkel Pemantapan Seniman Jalanan’ telah diadakan, dan juga pemberian permit untuk busker. Ini bermakna permit perlu diperbaharui setiap tahun.
Saya turut terlibat sebagai peserta dalam program tersebut. Bagi saya, ini satu program atau inisiatif yang bermanfaat dari pihak DBKL mahupun karyawan untuk memartabatkan imej atau taraf para seniman jalanan atau busker ke satu tahap yang lebih baik. Selain pemuzik, golongan pelukis dan artis jalanan seperti badut turut terlibat dalam program ini.
Sejarah Busking
Menyingkap kembali sejarah busking di negara kita, dR. Sam Rasputin, penyanyi reggae popular tanahair tahun 80an boleh dianggap sebagai pelopor budaya busking di Malaysia. Pada penghujung tahun 70an, beliau dan rakan-rakannya sering membuat persembahan jalanan di Wisma Yakin.
Pemuzik Orang Kurang Upaya juga sudah ada di era tersebut. Mereka bernaung di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diberi kebenaran membuat persembahan di kompleks beli-belah seperti di Globe Silk Store. Jadi dari segi penilaian masyarakat keatas golongan ini di waktu itu juga lebih berdasar simpati berbanding bakat yang mereka miliki.
Memang ada pemuzik O.K.U yang berbakat seperti Caliph Busker yang memulakan karier muzik mereka di bawah monorel Brickfields dan juga di kompleks SOGO sejak dua tahun yang lepas. Tetapi bagi saya, penilaian masyarakat terhadap mereka (pemuzik O.K.U) masih di tahap simpati berbanding bakat.
Busking adalah tentang kreativiti, bukannya kesempurnaan. Seperti Caliph Busker, mereka ini bagi saya hanyalah ‘cover’ band, sama seperti pemuzik yang bermain muzik di pub mahupun di hotel. Bezanya mereka bermain muzik di jalanan, itu sahaja.


Mengapa Busking
Saya memilih untuk menjadi busker kerana itu sebahagian daripada akar umbi saya di dalam genre muzik folk yang saya perjuangkan. Kebanyakan penyanyi folk memulakan kerjaya mereka di jalanan, seperti Bob Dylan, Iwan Fals dan John Cougar. Ia berkait rapat dengan mesej kehidupan, ketuhanan mahupun kemanusiaan yang ingin mereka sampaikan di dalam lagu mereka. Ia juga berkait rapat dengan nilai kebebasan kita sebagai busker berbanding menjadi pemuzik di pub mahupun di hotel.
Dalam dunia muzik di negara kita, keadaannya berbeza kerana konsepnya lebih kepada ‘cari makan’. Tidak kiralah sama ada kita ini artis rakaman, pemuzik di pub mahupun di hotel, begitu jugalah di jalanan. Lagu-lagu perlu mengikut selera masyarakat yang lebih ke arah komersial.
Apabila Pasar Seni dibuka pada pertengahan tahun 80an, aktiviti busking diteruskan di laluan Jalan Kasturi bersebelahan bangunan Pasar Seni. Antara busker yang terawal busking di Pasar Seni adalah Wahid, Sidek dan Adi Jagat. Generasi berikutnya termasuk Sherry, kumpulan Busker, Jimi dan Nan Blues.
Pasar Seni dinaiktaraf secara rasminya sebagai pusat yang membudayakan kesenian pada 15 April 1986. Dahulunya, ia adalah Pasar Basah yang menjual ikan, daging, sayur-sayuran, barangan runcit dan keperluan harian. Pasar Seni juga telah dinaiktaraf untuk kali kedua pada 15hb April 2004.
Saya boleh katakan sewaktu di era awalnya, Pasar Seni adalah pusat segala aktiviti kesenian yang lebih berbentuk santai dan artistik seperti busking. Waktu itu saban petang kita akan menonton persembahan Baca Sajak Tiang Lampu secara santai dari kumpulan Sani Sudin dan rakan-rakannya seperti Khalid Salleh,Pyanhabib, dan Nasir Jani. Konsep persembahan mereka itu kita boleh dikatakan sebagai street performance.
Saya memulakan kerjaya busking di Pasar Seni pada awal tahun 2000. Waktu itu, penerimaan masyarakat 70 peratus negatif berbanding positif. Tidak seperti di hari ini, waktu itu pihak kerajaan juga seakan tidak menyokong aktiviti busking. Mungkin kerana dari segi imej, busker pada waktu itu selekeh dan sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

Musim Kesukaran
Menyingkap musim-musim sukar saya sebagai busker di negara yang membangun seperti Malaysia, saya pernah ditangkap dan digari oleh pegawai polis cawangan IPK sewaktu sedang busking dengan rakan-rakan di Pasar Seni.
Kemudian kami dibawa ke Penjara Pudu untuk ujian air kencing atas suspek penagih dadah. Sempatlah saya bermalam selama empat malam sementara menunggu keputusan ujian dari hospital. Itu berlaku pada tahun 2005. Pada tahun yang sama, saya juga pernah ditangkap bersama-sama dengan golongan OKU yang mengemis di KLCC oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mereka cuba mengangkut saya untuk dibawa ke Mersing.
Hari ini, berbagai kemudahan, ruang dan peluang telah disediakan untuk golongan busker. Mereka juga sudah mempunyai persatuan, My Busker Club (MYBC) yang diterajui oleh Encik Wady Hamdan sebagai presiden. MYBC juga sering bekerjasama dengan Kementerian Seni dan Pelancongan.
Berbagai usaha dan program telah mereka jayakan, seperti Malaysian Youth Busker Fest 2012 di KLCC, 1Malaysia Busking Nite di Dataran Pavillion, menghantar wakil busker untuk terlibat dalam program World Art Games di Croatia pada 2013 dan banyak lagi.
Saya juga antara penerima Anugerah Khas Seniman Jalanan dalam satu program yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama MYBC yang berlangsung pada 25 Mei 2016 yang lalu. Hari ini dianggarkan terdapat 11,000 busker di seluruh Malaysia. Mereka juga telah diberi ruang untuk membuat persembahan di kompleks beli-belah seperti Publika, Festival City, Avenue K dan banyak lagi.
Mungkin ianya trend hari ini. Sebagaimana kita lihat para remaja yang seronok mengusung kamera, begitu jugalah kita lihat bagaimana bangganya para remaja mahupun anak muda mengusung gitar ke sana sini. Apabila ditanya nak kemana, mereka dengan bangganya akan menjawab, “Saya busker!”
Meor Aziddin Yusof, atau lebih dikenali sebagai Meor, adalah salah satu busker termasyhur di Malaysia. Genre muziknya yang berlandaskan ‘folk’ telah dimainkannya di sekeliling Kuala Lumpur sejak tahun 80an, terutamanya di Pasar Seni dan sekarang di KL Sentral. Artikel ini dipetik dari majalah ‘Kreatif’ (2016) keluaran Pop Digital Sdn Bhd ,diterbitkan dengan izin.